Majulah diri untuk Agama, Bangsa, dan Negara...

Sayyidul Ayyam - BAHAYA LALAI KETIKA TAKBIRATUL IHRAM





Assalamualaikum dan selamat kembali ke blog yang tidak seberapa ini...

Bersempena dengan hari Jumaat yang mulia ini..hari penghulu sekalian hari..ana ingin berkongsi beberapa input bersama sahabat-sahabat...




BAHAYA LALAI KETIKA TAKBIRATUL IHRAM

     Apabila seseorang berdiri untuk menunaikan solat lantas ia pun memulakan Takbiratul Ihram dengan lafaz ‘Allah Maha Besar ‘, ketika lidah menyebut lafaz tersebut janganlah hati menyimpang ke lain.

            Sekiranya di dalam hati seseorang yang melakukan ada sesuatu benda lain yang lebih diberi tumpuan, ataupun hawa nafsu lebih mempengaruhi hati, dari mengingat pengertian Allahu Akbar. Kebetulan pula memang hati lebih gemar akan benda itu yakni lebih dari Allah S.W.T. , bererti ia dengan cara sulit telah mengambil hawa nafsu lebih daripada ia tunduk kepada Allah SWT. Oleh itu lafaz yang diucapkan oleh lidah itu hanya percakapan lidah atau hanya cakap kosong semata-mata.

            Bahawa apabila lidah seseorang itu mengucapkan ’Allahu Akbar’ maka wajib bagi hati turut bersama. Hendaklah sedar ketika lidah mengucap Allah Maha Besar bererti selain-Nya adalah kerdil belaka. Allah SWT itu Maha Besar dari segi hukum dan perundangan-Nya, Maha Besar kekuasaan-Nya dan Maha Besar segala sifat-Nya.

            Oleh yang demikian segala yang lain itu kecil belaka termasuklah apa-apa jua yang menjadi tindak-tanduk dan kemahuan manusia itu terlalu kecil di sisi Allah SWT. Ini bererti jika bertemu perkara yang kecil dengan yang besar, wajib memberi keutamaan kepada urusan yang besar dan segala yang kerdil itu sewajarnya diketepikan jika ia benar-benar telah membesarkan Allah SWT.

            Sekiranya seseorang itu ketika lidahnya mengatakan Allah Maha Besar, pada ketika yang sama hatinya pula membesarkan benda-benda lain, maka dengan sendirinya ia telah meletakkan benda-benda itu setaraf dengan Allah SWT. Seolah-olah ia telah mengagungkan benda-benda lain itu sama besar dengan Allah SWT.

            Tujuan mendirikan solat tidak lain ialah untuk mengingati Allah SWT. Sebab itulah solat itu didahului denagn takbiratul ihram iaitu dengan sebutan ‘AllahuAkbar’. Adakah boleh ditakrifkan sebagai mengingati Allah SWT jika lidah sahaja yang menyebut, sedangkan hati pada ketika itu mengingati perkara-perkara lain.

            Bagaimanakah solat itu hendak dikatakan sebagai suatu ibadah kepada Allah SWT, padahal sejak awal mendirikan solat telah dimulai dengan dosa mensyirikkan Allah SWT di dalam hati. Waspadalah terhadap bahaya tersebut terutama bagi oarang yang hidupnya mengutamakan urusan dunia semata-mata. Tidak mustahil perkara dunia itu akan terbawa-bawa kedalam solatnya. Akhirnya solat bukan lagi untuk mengingati Allah SWT, tetapi memasukkan harta dunia, pangkat kedudukan dan urusan keluarga di dalam solat. Lain yang disebut lain pula yang diingat.

            Oleh yang demikian hendaklah seseorang itu berfikir dan menginsafi sedalam-dalamnya bahawa perkara tersebut ialah suatu perbuatan yang amat bahaya dan sekali-kali tidak boleh dibiarkan terus menerus kalau ia tidak beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Taubat yang tidak bersungguh-sungguh yang menyebabkan terulangnya perbuatan merbahaya itu juga adalah suatu dosa lagi. 




~fikir-fikir sejenak~

Dipetik daripada Sorohatuttullab LKPKISAS
Share:

No comments:

Post a Comment

Leraikan dengan kata-kata yer...

Popular Posts

Followers