Assalamualaikum dan selamat kembali ke blog yang tidak seberapa ini...
Bersempena dengan hari Jumaat yang mulia ini..hari penghulu sekalian hari..ana ingin berkongsi beberapa input bersama sahabat-sahabat...
BAHAYA
LALAI KETIKA TAKBIRATUL IHRAM
Apabila seseorang berdiri untuk menunaikan
solat lantas ia pun memulakan Takbiratul Ihram dengan lafaz ‘Allah Maha Besar ‘,
ketika lidah menyebut lafaz tersebut janganlah hati menyimpang ke lain.
Sekiranya di dalam hati seseorang yang melakukan ada sesuatu benda lain yang
lebih diberi tumpuan, ataupun hawa nafsu lebih mempengaruhi hati, dari
mengingat pengertian Allahu Akbar. Kebetulan pula memang hati lebih gemar akan
benda itu yakni lebih dari Allah S.W.T. , bererti ia dengan cara sulit telah
mengambil hawa nafsu lebih daripada ia tunduk kepada Allah SWT. Oleh itu lafaz
yang diucapkan oleh lidah itu hanya percakapan lidah atau hanya cakap kosong
semata-mata.
Bahawa
apabila lidah seseorang itu mengucapkan ’Allahu Akbar’ maka wajib bagi hati
turut bersama. Hendaklah sedar ketika lidah mengucap Allah Maha Besar bererti
selain-Nya adalah kerdil belaka. Allah SWT itu Maha Besar dari segi hukum dan
perundangan-Nya, Maha Besar kekuasaan-Nya dan Maha Besar segala sifat-Nya.
Oleh yang demikian segala yang lain
itu kecil belaka termasuklah apa-apa jua yang menjadi tindak-tanduk dan
kemahuan manusia itu terlalu kecil di sisi Allah SWT. Ini bererti jika bertemu
perkara yang kecil dengan yang besar, wajib memberi keutamaan kepada urusan
yang besar dan segala yang kerdil itu sewajarnya diketepikan jika ia benar-benar
telah membesarkan Allah SWT.
Sekiranya
seseorang itu ketika lidahnya mengatakan Allah Maha Besar, pada ketika yang
sama hatinya pula membesarkan benda-benda lain, maka dengan sendirinya ia telah
meletakkan benda-benda itu setaraf dengan Allah SWT. Seolah-olah ia telah
mengagungkan benda-benda lain itu sama besar dengan Allah SWT.
Tujuan
mendirikan solat tidak lain ialah untuk mengingati Allah SWT. Sebab itulah
solat itu didahului denagn takbiratul ihram iaitu dengan sebutan ‘AllahuAkbar’.
Adakah boleh ditakrifkan sebagai mengingati Allah SWT jika lidah sahaja yang
menyebut, sedangkan hati pada ketika itu mengingati perkara-perkara lain.
Bagaimanakah
solat itu hendak dikatakan sebagai suatu ibadah kepada Allah SWT, padahal sejak
awal mendirikan solat telah dimulai dengan dosa mensyirikkan Allah SWT di dalam
hati. Waspadalah terhadap bahaya tersebut terutama bagi oarang yang hidupnya
mengutamakan urusan dunia semata-mata. Tidak mustahil perkara dunia itu akan
terbawa-bawa kedalam solatnya. Akhirnya solat bukan lagi untuk mengingati Allah
SWT, tetapi memasukkan harta dunia, pangkat kedudukan dan urusan keluarga di
dalam solat. Lain yang disebut lain pula yang diingat.
Oleh yang
demikian hendaklah seseorang itu berfikir dan menginsafi sedalam-dalamnya
bahawa perkara tersebut ialah suatu perbuatan yang amat bahaya dan sekali-kali
tidak boleh dibiarkan terus menerus kalau ia tidak beristighfar dan bertaubat
kepada Allah SWT. Taubat yang tidak bersungguh-sungguh yang menyebabkan
terulangnya perbuatan merbahaya itu juga adalah suatu dosa lagi.
~fikir-fikir sejenak~
Dipetik daripada Sorohatuttullab LKPKISAS