Geng blogger...

There was an error in this gadget

Sunday, November 21, 2010

Aku Seorang Nakhoda

Semasa umurku mencecah usia matang, aku telahpun diberi keputusan untuk belayar sebagai penumpang kepada sebuah bahtera yang dinakhodai oleh seorang nakhoda yang hanya akan memberi aku kesempatan menumpang di bahteranya hanya sebentar sehingga aku bersedia menakhodai bahteraku sendiri.

Akhirnya, saat itu sampai juga. Aku diberi sebuah tongkang kecil dan belayar beriringan dengan bahtera yang menumpangkan aku sebelum ini. Aku belum lagi bersedia belayar lebih jauh ketika itu. Selang beberapa tahun, aku diberi pula sebuah bahtera kecil dan aku juga mempunyai kumpulan yang terdiri daripada bahtera-bahtera kecil yang lain. Aku bertanggungjawab sebagai nakhoda bahtera-bahtera kecil yang lain. Sebagai nakhoda, aku akan sentiasa memberi keputusan yang wajar kepada ahliku agar tidak hanyut dilambung ombak.  Ketika itu, jarak bahteraku dengan bahtera yang menumpangkanku sudah semakin jauh kerana aku diberi kepercayaan untuk memilih haluan bahtera kecilku sendiri. Kadang kala kumpulan bahtera kecil kami hanyut ditolak ombak kecil dan aku bernasib baik ketika itu ada bahtera lain yang mahu membantuku dalam menakhodai kumpulan bahtera kecilku.

Tidak lama kemudian, sudah sampai masanya aku berpisah dengan ahli-ahli kumpulan  bahtera kecilku kerana sudah menjadi lumrah untuk kami belayar dengan bahtera masing-masing dengan membawa haluan sendiri. Aku tinggal keseorangan diri dalam menempuh bahteraku yang lama kelamaan semakin besar. Pada satu hari, aku telah dihadapkan dengan satu ujian yang akhirnya aku tewas. Aku diasyikkan dengan keindahan sekelilingku sehingga aku lalai menakhodai bahteraku. Bahteraku akhirnya dilambung ombak yang besar dan akhirnya pecah dan hancur serta karam. Disebalik kejadian itu mujurlah sebelum kejadian itu aku telah belayar dengan bahtera lain yang lebih gagah dan nakhodanya yang lebih hebat dariku.

Mereka dapat menyelamatkan aku daripada lemas namun tidak sekalipun membenarkan aku menumpang bahtera mereka. Mereka hanya memberikan aku sebuah bahtera kecil dan lebih kecil daripada sebelumnya yang pernah aku miliki. Berbekalkan bahtera kecil itulah aku menimba pengalaman dan meluaskan pengetahuanku walaupun dulu aku pernah mengetuai sebuah kumpulan bahtera kecil namun apa yang aku hadapi kini berbeza. Aku menjadi ahli kumpulan dan bukan lagi sebagai ketua. Aku ambil sedikit demi sedikit ilmu pelayaran yang nyata tidak jauh berbeza dengan pelayaranku selama ini.

Seperti biasa dan telah menjadi lumrahnya, aku akan berpisah dengan mereka dan melayari bahteraku bersendirian tanpa bantuan yang lain. Kali ini aku merasa lebih yakin dengan pelayaranku. Kemudian aku kembali kepada bahtera besar yang telah menumpangkan aku sejak sekian lama untuk berehat sebentar sebelum aku meneruskan pelayaranku yang lebih mencabar. Kemudian aku belayar sedikit demi sedikit dan akhirnya semakin jauh dari bahtera besar tersebut untuk menuju matlamatku dengan aku menakhodai bahtera yang lebih besar dari sebelumnya yang pernah aku miliki namun lebih kecil dari bahtera besar tersebut.

Sepanjang pelayaranku ini, aku telah menemui dua haluan yang memerlukan aku memilih dari salah satunya. Jalan pertama ialah jalan yang di sekelilingnya penuh dengan dengan kecantikan pemandangan yang sememangnya aku boleh terlupa dan lalai daripada mengejar matlamatku. Jalan itu penuh dengan keasyikan dan aku takut untuk menjadi mangsa kecantikan dan kemanisan di jalan itu. Jalan kedua pula ialah jalan yang aku pilih. Jalan ini menuju ke satu pelabuhan. Di sana akan ada seorang yang akan menunggu ketibaanku untuk membawanya belayar lebih jauh di lautan dengan bahtera yang lebih besar dan belayar bukan lagi berseorangan diri. Belayar bersama-sama dengan satu matlamat baru yang sama.

Kini aku sedang menunggu jawapan dari insan tersebut, adakah dia mahu menunggu aku di pelabuhan dan sabar dengan penantian yang lama disebabkan aku sendiri tidak tahu bila aku akan sampai dipelabuhan itu. Tapi aku yakin aku akan sampai pada masa yang sepatutnya aku telah ditakdirkan tiba di sana. Ataupun dia tidak rela dan tidak mahu serta tidak sanggup menunggu ku kerana sedar dari awal matlamat kami berbeza? Itulah yang ku nantikan, jawapan sama ada dia mahu menungguku ataupun tidak…

Reaksi anda

0 coret-coret:

Post a Comment

Leraikan dengan kata-kata yer...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bonus untuk Anda